Sunday, July 27, 2008

Tulisan A Kadir Jasin yang bertajuk; Isu Ekonomi: Siapa Hendak Kita Percaya?

Saya senang sekali tulisan ini dipublish di blog saya untuk renungan kita bersama dan diharap membuat minda rakyat kita khususnya di Kadamaian dan amnya di Sabah, terbuka dan belajar menilai perkembangan semasa yang berlaku di negara kita. Mungkin ada di antara kawan-kawan yang belum membaca tulisan ini.


Isu Ekonomi: Siapa Hendak Kita Percaya?

KALAU kita sudah puas atau sudah jemu dengan cerita bunuh, liwat, lewat, akuan bersumpah, tangkapan ala-Swat dan macam-macam lagi cerita sensasi, elok kalau kita kembali ke alam nyata.

Alam yang penuh dengan sungutan dan rungutan. Alam yang dihuni manusia yang resah, gelisah, susah dan menyampah dengan ekonomi yang terumbang ambing dan janji-janji yang dimungkiri.

Janji sebuah negara yang sejahtera, aman dan makmur seperti diuar-uarkan di dalam manifesto Barisan Nasional pada pilihan raya umum 8 Mac lalu. Negara cemerlang, gemilang, terbilang yang suatu masa dulu didendangkan.

Siapa yang hendak kita percaya? Rakyat jelata yang berkata mereka semakin menderita? Para pembesar pemerintah yang mendakwa semuanya terkawal dan terjaga? Pembangkang yang menuduh kerajaan lemah, rasuah dan tidak berdaya? Atau ramalan pesimis para pakar ekonomi dan penganalisis?

Mari kita pertimbangkan fakta berikut:

1. Pada 2 Julai, akhbar
New Straits Times memetik Gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz, sebagai meramalkan kemungkinan pertumbuhan ekonomi negara tahun ini jatuh di bawah paras 5 peratus;

2. Dia meramalkan inflasi bulan lalu (Jun) melonjak naik pada kadar 6-7 peratus akibat kenaikan harga minyak berbanding inflasi bulan Mei pada kadar 3.8 peratus;

3. Beberapa hari kemudian,
Reuters memetik Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi sebagai berkata ekonomi masih boleh berkembang pada kadar 5 peratus kerana fundamental ekonomi kukuh;

4. Pada 18 Julai, akhbar
The Sun memetik Pengarah Eksekutif Institut Kajian Ekonomi Malaysia (Mier), Prof. Emeritus Dr Mohamed Ariff, sebagai berkata bahawa MIER telah menurunkan jangkaan pertumbuhan ekonomi daripada 5.4 peratus kepada 4.6 peratus;

5. Firma penyelidikan pasaran modal, CIMB Research melaporkan bahawa pelabur asing telah membuat penjualan besar-besaran menyebabkan harga saham-saham kegemaran pelabur asing seperti MRCB, Gamuda, Air Asia, Media Prima, Bursa Malaysia, Resort World, IJM Corp., SP Setia dan UM Land jatuh hingga 57 peratus di Bursa Malaysia sepanjang separuh pertama tahun ini;

6. Seorang billionaire Cina yang menerajui sebuah syarikat papan pertama Bursa Malaysia menyokong jadual peralihan kuasa Abdullah-Mohd Najib tetapi bimbang dalam tempoh itu ekonomi negara akan mengalami penguncupan (
recession) kerana kurang perancangan yang meyakinkan;

7. Seorang usahawan Cina mahu Umno segera pulih di bawah kepemimpinan yang lebih berwibawa dan diyakini pelabur;

8. Seorang tauke Cina yang menerajui sebuah syarikat pembinaan papan pertama Bursa Malaysia meramalkan 60 hingga 70 peratus kontrak kecil sudah dimungkiri (
defaulted) kerana kos pembinaan yang melambung dan permintaan ke atas hartanah yang merosot; dan

9. Media massa arus perdana yang patuh kepada pemerintah sendiri telah mula menyiarkan secara terbuka berita penderitaan rakyat jelata akibat kenaikan harga minyak dan kos sara hidup.

Nampaknya rakyat jelata tidak ada pilihan selain mencuba sebaik yang mungkin untuk mengekalkan produktiviti dan mata pencarian, berjimat cermat dan menunggu kemunculan kepemimpinan yang lebih cekap dan diyakini selepas era Abdullah.

Ini semua, tidak dapat tidak akan membawa kita kembali kepada kepemimpinan politik, khasnya kepada kemampuan kerajaan mengurus ekonomi dalam krisis dan menjana keyakinan pelabur serta pengguna.

Seorang pembesar politik negara pernah membuat kenyataan berikut dalam wawancara dengan wartawan
Utusan Malaysia Rosnah Majid (sekarang Datuk) yang disiarkan pada 20 Mei, 1984:

“Nasib seorang ahli politik banyak bergantung kepada orang suka kepada kita ataupun sebaliknya. Kedudukan dalam politik sentiasa bergantung kepada sokongan. Ahli politik tidak dapat berbuat apa-apa tanpa sokongan. Inilah hakikatnya.”

Renung-renungkan dan selamat berjuang

Thursday, July 17, 2008

Perubahan Pasti akan Menjadi Kenyataan

Senario politik negara kini semakin rumit. Perkembangan terkini yang kita saksikan di pentas layar maya, menjurus kepada ketidakseimbangan politik, sosial & ekonomi. Yang pasti kita sedang menyaksikan satu corak pergerakan perubahan politik yang dinodai dengan pelbagai-bagai warna-warni. Pun begitu satu sinar baru yang hampir dan pasti menjadi kenyataan. Kita boleh andaikan sedemikian kerana keyakinan rakyat terhadap kepimpinan yang ada sekarang semakin pudar. Rakyat perlu diyakinkan dengan satu harapan yang jelas dan berojektifkan perjuangan rakyat,berdasarkan kepada kekuatan dan sumber yang ada. Inilah fakta yang harus diterima secara majoriti. Bagaimana pula keadaan rakyat kita di Sabah atau di Kadamaian khususnya? Apakah kita bersedia dengan segala kemungkinan perubahan yang mendatang? Atau kita hanya duduk dan menanti dan menyaksikan pentas layar maya ini dengan tidak menaruh harapan yang lebih optimis? Sememangnya kita selalu lambat untuk membuat perubahan. Tetapi mungkin kita mempunyai alasan untuk berbuat demikian. Tetapi kita harus sedar bahawa apabila nasi sudah menjadi bubur, maka kita tidak dapat berbuat apa-apa lagi. Kita tidak dapat kembali kepada tujuan asal iaitu memartabatkan bangsa sendiri dan tidak mahu dipersendakan oleh pihak lain yang tahu mengambil kesempatan dan mengenepikan hak-hak kita. Fikir-fikirkan lah semua ini wahai rakyat yang tercinta.

Sunday, July 6, 2008

Delima yang belum berakhir

Sejak 8 Mac yang lalu, telah bermula lembaran-lembaran peristiwa yang telah membuat rakyat bertambah gusar dan bingung. Kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan melalui dada-dada akhbar, blogs dan berita-berita di kaca TV, membuat rakyat menjadi semakin bingung dan tertanya-tanya apa sudah terjadi dengan negara kita. Selain dibebani kenaikan harga barang dan kerisauan tentang bekalan makanan dunia, rakyat Sabah & Sarawak mula berfikir dengan halatuju politik dan ekonomi mereka kerana merupakan golongan yang amat merasa tekanan hidup walaupun seringkali diwar-warkan merupakan negeri yang mempunyai hasil bumi yang banyak tetapi merupakan negeri, di mana penduduknya yang termiskin di Malaysia. Ada pula golongan yang selama ini berdiam diri tetapi sekarang tidak dapat bertahan lagi kerana desakan dan kemelut semasa yang menekan.

Akan bangkitkah puak-puak yang meluahan ketidakpuasan mereka dengan cara pengagihan kekayaan dan pembahagian peruntukan pembangunan yang telah dinyatakan dalam RMK9 dan peruntukan tambahan selepas review separuh penggal pelaksanaan oleh kerajaan?. Golongan yang seringkali terlepas pandang adalah golongan masyarakat yang tinggal di kawasan terpencil dan jauh dari riuh kesibukan kota. Bagaimana dengan nasip mereka? Apakah mereka mendapat pembelaan yang sewajarnya? Seperti golongan masyarakat minoriti di sarawak & Sabah? Apa yang kita lihat dan perhatikan adalah pergelutan didalam parti politik BN sendiri. Isu dalaman parti seakan diberi perhatian lebih daripada masalah yang dihadapi oleh rakyat.Rakyat akan berhenti bercakap jika hak mereka diberi perhatian dengan sewajarnya. Golongan-golongan ini tentu sekali, lebih berminat dengan pilihan-pilihan (option) yang ada sekiranya dikehendaki berbuat demikian. Tetapi kita percaya bahawa masyarkat kita semakin terbuka untuk berfikir dan meluahkan atau melontarkan pandangan-pandangan dan idea-idea yang boleh menyedarkan minda masyarakat dan perlahan-lahan membawa mereka keluar dari kemelut yang menekan mereka. Kita pasti ada jalan keluar dari delima ini.