Sunday, July 27, 2008

Tulisan A Kadir Jasin yang bertajuk; Isu Ekonomi: Siapa Hendak Kita Percaya?

Saya senang sekali tulisan ini dipublish di blog saya untuk renungan kita bersama dan diharap membuat minda rakyat kita khususnya di Kadamaian dan amnya di Sabah, terbuka dan belajar menilai perkembangan semasa yang berlaku di negara kita. Mungkin ada di antara kawan-kawan yang belum membaca tulisan ini.


Isu Ekonomi: Siapa Hendak Kita Percaya?

KALAU kita sudah puas atau sudah jemu dengan cerita bunuh, liwat, lewat, akuan bersumpah, tangkapan ala-Swat dan macam-macam lagi cerita sensasi, elok kalau kita kembali ke alam nyata.

Alam yang penuh dengan sungutan dan rungutan. Alam yang dihuni manusia yang resah, gelisah, susah dan menyampah dengan ekonomi yang terumbang ambing dan janji-janji yang dimungkiri.

Janji sebuah negara yang sejahtera, aman dan makmur seperti diuar-uarkan di dalam manifesto Barisan Nasional pada pilihan raya umum 8 Mac lalu. Negara cemerlang, gemilang, terbilang yang suatu masa dulu didendangkan.

Siapa yang hendak kita percaya? Rakyat jelata yang berkata mereka semakin menderita? Para pembesar pemerintah yang mendakwa semuanya terkawal dan terjaga? Pembangkang yang menuduh kerajaan lemah, rasuah dan tidak berdaya? Atau ramalan pesimis para pakar ekonomi dan penganalisis?

Mari kita pertimbangkan fakta berikut:

1. Pada 2 Julai, akhbar
New Straits Times memetik Gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz, sebagai meramalkan kemungkinan pertumbuhan ekonomi negara tahun ini jatuh di bawah paras 5 peratus;

2. Dia meramalkan inflasi bulan lalu (Jun) melonjak naik pada kadar 6-7 peratus akibat kenaikan harga minyak berbanding inflasi bulan Mei pada kadar 3.8 peratus;

3. Beberapa hari kemudian,
Reuters memetik Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi sebagai berkata ekonomi masih boleh berkembang pada kadar 5 peratus kerana fundamental ekonomi kukuh;

4. Pada 18 Julai, akhbar
The Sun memetik Pengarah Eksekutif Institut Kajian Ekonomi Malaysia (Mier), Prof. Emeritus Dr Mohamed Ariff, sebagai berkata bahawa MIER telah menurunkan jangkaan pertumbuhan ekonomi daripada 5.4 peratus kepada 4.6 peratus;

5. Firma penyelidikan pasaran modal, CIMB Research melaporkan bahawa pelabur asing telah membuat penjualan besar-besaran menyebabkan harga saham-saham kegemaran pelabur asing seperti MRCB, Gamuda, Air Asia, Media Prima, Bursa Malaysia, Resort World, IJM Corp., SP Setia dan UM Land jatuh hingga 57 peratus di Bursa Malaysia sepanjang separuh pertama tahun ini;

6. Seorang billionaire Cina yang menerajui sebuah syarikat papan pertama Bursa Malaysia menyokong jadual peralihan kuasa Abdullah-Mohd Najib tetapi bimbang dalam tempoh itu ekonomi negara akan mengalami penguncupan (
recession) kerana kurang perancangan yang meyakinkan;

7. Seorang usahawan Cina mahu Umno segera pulih di bawah kepemimpinan yang lebih berwibawa dan diyakini pelabur;

8. Seorang tauke Cina yang menerajui sebuah syarikat pembinaan papan pertama Bursa Malaysia meramalkan 60 hingga 70 peratus kontrak kecil sudah dimungkiri (
defaulted) kerana kos pembinaan yang melambung dan permintaan ke atas hartanah yang merosot; dan

9. Media massa arus perdana yang patuh kepada pemerintah sendiri telah mula menyiarkan secara terbuka berita penderitaan rakyat jelata akibat kenaikan harga minyak dan kos sara hidup.

Nampaknya rakyat jelata tidak ada pilihan selain mencuba sebaik yang mungkin untuk mengekalkan produktiviti dan mata pencarian, berjimat cermat dan menunggu kemunculan kepemimpinan yang lebih cekap dan diyakini selepas era Abdullah.

Ini semua, tidak dapat tidak akan membawa kita kembali kepada kepemimpinan politik, khasnya kepada kemampuan kerajaan mengurus ekonomi dalam krisis dan menjana keyakinan pelabur serta pengguna.

Seorang pembesar politik negara pernah membuat kenyataan berikut dalam wawancara dengan wartawan
Utusan Malaysia Rosnah Majid (sekarang Datuk) yang disiarkan pada 20 Mei, 1984:

“Nasib seorang ahli politik banyak bergantung kepada orang suka kepada kita ataupun sebaliknya. Kedudukan dalam politik sentiasa bergantung kepada sokongan. Ahli politik tidak dapat berbuat apa-apa tanpa sokongan. Inilah hakikatnya.”

Renung-renungkan dan selamat berjuang

1 comment:

Tanak Daradaat said...

“Nasib seorang ahli politik banyak bergantung kepada orang suka kepada kita ataupun sebaliknya. Kedudukan dalam politik sentiasa bergantung kepada sokongan. Ahli politik tidak dapat berbuat apa-apa tanpa sokongan. Inilah hakikatnya.”

1.Lain pula di Kadamaian. Sokongan bergantung samada PBS kah bukan PBS.

2.Luguan Tulu, pendidikan politik pertama para belia Kadamaian ialah kebenaran tentang pemimpin-pemimpin parti pada nbr.1 diatas. Itulah pemimpin yang sebenarnya memporak porandakan perpaduan KDM.